Kisah Benar: Seumur Hidup Berbuat Baik pada Haiwan, Ketika Dia Mati, Ratusan Burung Iringi Pengebumiannya !!



Oleh:Almaswa Haji Che Ros

Islam mendidik umatnya agar berbuat ihsan kepada haiwan dengan memberikan perhatian kepada usaha menjaga kebajikan mereka. Inilah di antara salah satu daripada ciri-ciri keindahan dan kesempurnaan ajaran Islam yang jarang diberikan perhatian. Bersesuaian dengan Sabda Rasulullah s.a.w yang menyebut :-

“Pada setiap sedekah terhadap makhluk yang memiliki hati (jantung) yang basah (hidup) akan dapatkan pahala kebaikan. Seorang Muslim yang menanam tanaman atau tumbuh-tumbuhan yang kemudian dimakan oleh burung-burung, manusia, atau binatang, maka baginya sebagai sedekah.” (Bukhori, Muslim).

Kisah yang ingin diceritakan ini, dikongsi oleh seorang anak mengenai arwah bapanya, Haji Bujang bin Tanda yang telah meninggal dunia 18 tahun lalu. Ratusan ekor burung seperti aina, pipit, merbah bahkan dari spesies yang tidak diketahui seolah-olah membuat barisan mengiringi jenazah kerana sikap arwah yang rajin bersedekah kepada makhluk Allah ini.

“Arwah bapa meninggal kerana serangan jantung. Saya sendiri tidak sempat menghadapnya kerana sebaik ke rumah, bapa sudah meninggal dunia. Berita kematiannya mengejutkan ramai orang kerana arwah tampak sihat sebelum ini,” kata anaknya, Jamilah Haji Bujang, 47 tahun.

Suami Jamilah, Hamdan Mohd Yusof seorang pengurus jenazah di Pantai Dalam. Dia memaklumkan betapa mudahnya memandikan arwah bapa mentuanya.

“Arwah seolah-olah tidur lena. Tubuhnya lembut, sendi-sendinya senang diuruskan. Waktu mandinya juga singkat dan mudah."

Selesai urusan kafan, jenazah di bawah ke Masjid Al-Ikhlasiah untuk disolatkan. Ratusan orang datang dan saling mengucapkan salam takziah kepada kami sekeluarga. Masa yang sama, masing-masing mengakui kebaikan yang selalu dibuat oleh arwah bapak yakni kebaikan dan pertolongan yang selalu dihulurkannya tanpa mengira siapa.

“Ketika jenazah dibawa ke masjid, saya perasan ratusan ekor burung bertenggek di wayar talian elektrik. Bermacam-macam jenis malah ada spesies burung berwarna hijau yang tidak pernah saya lihat sebelum ini.

"Burung-burung itu seolah-olah membentuk satu barisan panjang dan berbunyi sewaktu keranda bapa melalui mereka. Bahkan ratusan orang mengikuti solat jenazah pada hari itu.

“Hal burung itu saya anggap biasa tetapi kejadian aneh sekali lagi berlaku di tanah perkuburan. Kali ini burung-burung hijau bertenggek di ranting-ranting pokok yang terdapat di tanah perkuburan itu. Masih berkicau-kicau. Saya cuit emak dan abang, rupanya mereka juga perasan hal ini. Subhanallah," tutur Jamilah pula.

Rajin Bersedekah Pada Makhluk Allah

Sekalipun sudah hampir 20 tahun bapanya meninggal dunia, perbuatan bapanya itu masih terkesan di hati. Sampaikan hari ini, Jamilah sendiri meneruskan cara yang dilakukan oleh arwah bapanya itu.

"Bila saudara mara mula balik, mak buka satu cerita. Sejak pencen dari Telekom, bapa gemar bercucuk tanam. Ada pisang, serai, lengkuas, halia, cili, kacang botol dan sebagainya. Arwah cuma ambil sedikit saja hasil tanamannya. Sekadar melepaskan "sesak" di dapur ketika emak memasak. Selebihnya di sedekah kepada jiran tetangga dan ahli masyarakat yang datang meminta.

Cerita emak lagi, kalau pisang masak, bapa tidak akan benarkan pokok itu ditebang. Dia mahu burung, tupai makan sesisir dua pisangnya terlebih dahulu. Selepas itu barulah tandan pisang ditebang dan di sedekah pada jiran-jiran terdekat. Arwah juga akan mengumpul sisa-sisa nasi dari kedai makan untuk diberikan pada ayam dan itik yang diternak.

"Kadang-kadang bukan ayam itik sahaja yang datang makan. Kucing, burung, anjing liar juga akan berkongsi rezeki yang sama. Mereka seolah-olah tahu jam 3 petang, arwah akan datang membawa satu baldi penuh dengan sisa nasi dan lauk pauk yang dikutip dan dikumpulkan dari kedai makan berhampiran rumahnya." Cerita emaknya yang terkesan sehingga mengubah diri Jamilah jadi pemurah dalam soal sedekah.

Jamilah sedar perbuatan baik itu bukan saja dilakukan kepada manusia tetapi juga kepada makhluk Allah yang bernyawa. Hal ini kerana di dunia, Allah sudah menunjukkan pengajaran kepada insan yang berbuat baik kepada haiwan-haiwan.

Cerita Pak Kasim Asam Pedas Melaka

Kata pemilik kedai makanan, Pak Kasim Asam Pedas Melaka sudah jadi rutin arwah Haji Bujang datang ke kedainya untuk mengambil sisa-sisa nasi dan lauk. Ramah menyapa pelanggan yang datang ke kedainya.

"Dengan arwah semuanya boleh jadi. Baik masalah tanah setinggan, nak pinjam duit sampailah kenduri kahwin anak. Mulutnya memang bising sikit tapi hatinya baik. Arwah tak pernah mengecewakan harapan orang yang datang meminta bantuannya. Itulah sebab arwah popular dan sangat dikenali.  Bila arwah meninggal, sudah tak ada siapa lagi yang ambil sisa nasi di kedai saya."

Satu lagi sikap bapanya dia akan menyapu keliling kampung. "Bapa akan bawa sebatang penyapu lidi dan kereta tolak.  Habis jalan-jalan utama dibersihkan.  Itulah rutinnya setiap hari sampaikan sekampung kenal perangainya."

Apa yang lebih terkesan di hati anak keempat dari enam beradik ini ialah arwah bapanya bersama sahabat-sahabatnya memberikan sebahagian wang simpanan mereka untuk mendirikan surau yang diberi nama Al-Ikhlasiah. Hari ini, surau itu sudah tiada lagi tetapi digantikan dengan sebuah masjid tersergam indah yang mampu menampung ribuan jemaah di dalamnya di Pantai Dalam.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Kisah Benar: Seumur Hidup Berbuat Baik pada Haiwan, Ketika Dia Mati, Ratusan Burung Iringi Pengebumiannya !!"

Post a Comment